إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
(الحجرات 49:10)
"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat"
(الحجرات 49:13)
"Wahai manusia! Sungguh , Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa"
Ayat-ayat yang cukup sinonim bagi kita, selalu diperdengarkan dalam majlis-majlis ilmu, malah sering juga kita ulang-ulang untuk dijadikan peringatan kepada orang lain. Namun, seringkali juga kita yang lupa untuk mengamalkannya dalam lapangan kehidupan yang dihiasi dengan ragam manusia, makhluk bumi yang diciptakan berbeza-beza sifat dan fizikalnyanya oleh Allah s.w.t. Manusia (Kita) ialah manusia, bukan tuhan, bukan malaikat dan bukan juga nabi. Punya ketidaksempurnaan. Masing-masing punya kelebihan jua kekurangan. Dalam bersahabat, perbezaan dan kekurangan seringkali menjadi punca perselisihan. Masam muka dan tidak bertegur sapa sudah biasa dan ditambah pula dengan bisa-bisa umpatan yang lagi memomokkan api kebencian.
Lapang Dada dan Sabar
Uruslah perbezaan dan kekurangan dengan berlapang dada dan sabar. Mudah ungkapan ini tapi sangat sukar untuk dilaksanakan, bukan? Kadang-kadang, hati mengeluh,
"Tak habis-habis nak sakitkan hati aku! Sampai bila nak sabar?"
"Menyampahnya! Asyik aku je yang kena kemas bilik. Alik-alik, dia yang selerakkan balik."
"Dia ni suka minta itu, minta ini. Tapi kalau minta yang dia punya, kedekut!"
Seketika tanyalah diri, pernahkah hati ini mengeluh,
"Astaghfirullah..teruknya aku kerana menjadi sahabat yang tidak mampu mengubah akhlak sahabatku sendiri. Usahkan akhlak, solat berjemaah pun sukar untuk aku ajak bersama"
Sebenar-benar sahabat sesama islam ialah sahabat yang mampu berlapang dada dan sabar serta sering merefleksi kekurangan sahabat pada dirinya. Dalam masa yang sama, berusaha untuk mengubah sahabatnya ke arah keredhaan Allah. Bukankah matlamat hidup kita sama iaitu mencari redha Allah? Justeru, mengapa tidak menggunakan persamaan itu dalam mencari kedamaian dalam persahabatan?
Sayang Kerana Allah dan Benci Kerana Allah
Nilai sebuah persahabatan sebenarnya terletak pada nilai sebuah ketaqwaan. Di antara kita dan sahabat, Dialah pengantara. Dia menemukan kita, maka pasti Dia telah mentakdirkan sesuatu antara kita . Apa pun takdirNya, yang pasti Dia mahu menguji. Maka, mahukah kita menjadi orang yang tewas dalam ujian ini?
Apabila cinta Allah terlebih dahulu hadir sebelum cinta manusia, nescaya cinta manusia itu akan dipandu olehNya. Itu asas dan realiti. Untuk menghadirkan kasih sayang dalam persahabatan, sayangilah sahabat anda kerana Allah. Dari situ, Allah memberikan kita kekuatan untuk berlapang dada dan sabar dalam persahabatan. Sekalipun benci, kita bukan benci pada sahabat, tetapi kita benci pada dosa yang dilakukan oleh sahabat kerana kita tidak sanggup melihat sahabat mempermain-mainkan Allah, menyekutukanNya serta membelakangiNya dalam kehidupan kerana Dia adalah cinta utama. Dalam masa yang sama, kita menyahut seruanNya untuk mengajak sahabat kepadaNya.
Namun, apa yang berlaku pada hari, kita bersahabat bukan kerana inginkan redha Allah, tapi kerana dambakan cinta manusia. Semata-mata mahukan perhatian dan kasih sayang dari insan bergelar sahabat. Kerana kita mengutamakan redha manusia itulah, menjadikan kita mudah terasa hati dan sukar berlapang dada dengan sahabat. Jika Allah diutamakan, kenapa perlu kita terasa hati sedang kita yakin Allah itu cinta yang paling benar dan kita juga yakin bahawa Dia mencintai hambaNya yang sabar?
Wahai sahabat, bertaqwalah! Demi ukhwah fillah..