Ramadhan tahun ini sangat berbeza dengan Ramadhan sebelumnya. Hampir sebahagian daripada Ramadhan kali ini akan saya jalani di bumi yang jauh dari tanah air tercinta, dipisahkan daripada keluarga dengan jarak antara benua. Namun, bukan itu yang menjadikan Ramadhan tahun ini berbeza tapi menjalani ibadah puasa di bumi anbiya' dengan dilimpahi kebun-kebun ilmu daripada masyaikh itulah yang menjadi signifikan.
Pertama kali mendengar kuliah yang disampaikan oleh salah seorang syeikh Azhar cukup membuatkan saya begitu teruja. Melihat wajahnya sahaja sudah melahirkan keinsafan dalam diri apatah lagi mendengar susunan bahasanya yang hampir setiap kata-katanya dihiasi kalam Ilahi. Juga bahasa fushahnya yang lancar dan tersusun, pertama kali saya dengar daripada lidah orang Arab Mesir yang mana kebanyakan daripada mereka meggunakan bahasa ammi sebagai bahasa pertuturan. Saranan Imam Hasan Al Bana yang ditulis di dalam buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam disahut oleh para syeikh di sini.
Di kesempatan ini, ingin saya kongsi beberapa mutiara ilmu yang sempat saya hafaz ketika bersama di dalam kuliah Syeikh Usamah.
Tajuk: Permulaaan Menyambut Ramadhan
1) Memperbesarkan syiar-syiar Allah. Syiar di sini bermaksud berpuasa, membaca Al-Quran, berdoa dan menghidupkan lailatul qadr.
2) Menghadirkan keadaan hidup Nabi s.a.w dengan membaca kitab-kitab sirah Baginda dan menterjemahkannya dalam kehidupan.
3) Sentiasa terikat dengan Al-Quran dengan membaca, mendengar dan mentadabbur serta memahami dan mengamalkannya.
4) Berpuasa dengan taraf puasa khususul khusus seperti kata-kata Imam Al-Ghazali, Puasa ada tiga jenis:
Pertama: Puasa umum iaitu puasa orang awam. Mereka berpuasa menahan lapar dan dahaga tetapi anggota tubuh badan mereka seperti mata, telinga, lidah, tangan dan kaki mereka terdedah dengan maksiat.
Kedua: Puasa khusus. Mereka berpuasa menahan lapar dan dahaga, anggota tubuh badan mereka seperti mata, telinga, lidah, tangan dan kaki mereka terpelihara daripada maksiat tetapi hati mereka tidak dijaga daripada kemungkaran batin.
Ketiga: Puasa khususul khusus. Mereka berpuasa menahan lapar dan dahaga, anggota tubuh badan mereka seperti mata, telinga, lidah, tangan dan kaki mereka terpelihara daripada maksiat serta hati mereka sentiasa dijaga daripada kemungkaran batin yakni hati mereka sentiasa khusyuk mengingati Allah. Inilah darjat puasa yang perlu kita raih untuk mendapat keampunan dan redha Yang Maha Pencipta, yang tidak pernah tidur dan sangat dekat dengan hamba yang mendekatiNya.
Kata syeikh, cukup empat perkara ini kita ingat dan amal sepanjang Ramadhan. Insya Allah kita akan tergolong dalam kalangan orang yang mendapat rahmat dan kasih sayangNya.
Ramadhan kareem.. Kullu sanah waantum toyyibin.
No comments:
Post a Comment