August 14, 2011

Kembara Di Bumi Musafir

Nun dari jauh kelihatan kerlipan butiran manik-manik pasir di ketengahan panas membahang. Matahari terbenam di ufuk barat seolah-olah tenggelam ke dasar lautan. Tasik biru muncul di tengah padang pasir. Pemandangan memukau jauh dari kebisingan kota Kaherah.

Inilah yang boleh saya gambarkan tatkala mengembara di ardhul kinanah. Peluang cuti di musim panas seusai final exam saya rampas dengan rakus. Rakus kerana dahagakan sebuah cinta agung. Kebesaran Ilahi saya nikmati dan syukuri. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Jauh dari sudut hati, doa saya panjatkan agar musafir ini membuka mata hati yang bertakhta di dalamnya mahligai iman. Cerita seorang wali Allah yang menolak untuk ber'uzlah di tengah keindahan alam kerana bimbang ia bukan mendamaikan untuk pencarian cintaNya malah melalaikan dengan pesona dunia mengingatkan saya agar tidak lekang menyebut namaNya ketika bermusafir agar diri ini senantiasa menyedari ketakjuban alam ini adalah milikNya semata. Dan bukankah Allah telah berfirman:


"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan (pada) pertukaran malam dan siang dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan Keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (Al-Baqarah 2:164)

Dek bimbang musafir ini menghadiahkan keseronokan yang melalaikan, ayat ini memujuk. Selagi saya tergolong dalam kalangan orang-orang yang berfikir. Berfikir tentang petanda kebesaran agung.

Setelah tiga hari berada di Zaqaziq dari 18 hingga 20 Julai, saya meneruskan misi kembara lewat lima hari selepas itu ke bandar Mansoura. Peluang ini saya gunakan untuk bersama kakak tercinta yang sedang menuntut di situ.

Suasana Mansoura menzahirkan ketulenan tabiat orang-orang Arab yang kadang-kadang merimaskan saya dan kawan-kawan. Di situlah saya belajar untuk bersuara apabila 'dibuli' lantas merobek kesabaran yang tersimpan dalam. Lucu. Gelagat sahabat menggelikan hati. Bergaduh dengan orang Arab seperti sudah biasa. Bukan tidak mahu bersabar, tetapi hanya mempertahankan hak.

Malamnya, saya dibawa oleh kakak untuk membelah sungai Nil, sungai kebanggaan Mesir. Tanpa Nil, siapalah Mesir. Cruising dalam keindahan cahaya malam. Seolah-olah seperti tidak percaya apabila impian untuk belayar di tengah Nil dimakbulkan Tuhan.


Suasana di atas kapal
Esoknya, seawal jam enam pagi, saya dan kawan-kawan bertolak ke kota Dumyat. Betapa damainya Dumyat jika dibandingkan dengan Kaherah. Kotanya juga jauh lebih bersih dan bangunannya banyak dihiasi vila-vila mewah yang tersergam indah. Lain. Mesir baru di kota Dumyat.


Di situ, kami dibawa oleh musyrif  ke sebuah kebun tamar. Bumi yang subur dengan tanaman mengingatkan saya tentang  kalam Allah yang berbicara dalam Surah Al Hajj, ayat 5-7. Inilah petanda yang dimaksudkan Tuhan. Allahu akbar. Hanya manusia yang buta yang menidakkan hari kebangkitan. Adapun manusia yang percaya tetapi berterusan melakukan dosa dan maksiat, berpura-pura lupa akan peringatan ini, ingatlah manusia yang lupa kepadaNya akan dilupakan oleh Allah di akhirat kelak.

Kota Dumyat

Kebun tamar

Bergambar bersama pemilik kebun
Di Hadiqah Dumyat Al-Gadidah
Puas meneroka, kami ke Hadiqah Dumyat Al-Gadidah. Sebuah taman mewarnai kota Dumyat. Indah. Ketenangan yang mengujakan.

                                                              
     











Seusai asar, kami dibawa ke Ra'sul Bar, tempat pertembungan antara lautan dan sungai dan antara destinasi pelancongan popular di bumi Mesir. Walaupun pertembungan itu tidak jelas kelihatan dek kerana kedua-duanya menyatu, namun laut yang berombak dan sungai yang tenang menampakkan sedikit perbezaan.

Di sinilah juga pertama kali saya melihat sendiri pemandangan matahari terbenam di tengah lautan. Lebih kurang 10 hingga 15 minit sebelum jatuhnya matahari, lambakan manusia menuju ke pesisiran lautan. Saya tidak melepaskan peluang mengambil posisi terbaik untuk menonton live pertunjukan dari Allah. Bibir tidak henti-henti menyebut namaNya. Lebih indah daripada gambar-gambar yang saya lihat di dada-dada majalah. Subhanallah.

Ra'sul Bar
Bergambar membelakangi matahari
                              









Suasana dan pemandangan matahari terbenam









Malamnya, sekali lagi saya diberi peluang untuk belayar di tengah sungai Nil, kali ini di Ra'sul Bar. Berat rasanya kaki ini melangkah untuk meninggalkan Dumyat dan Ra'sul Bar. Pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan.







 Menikmati keindahan malam ketika belayar di Ra'sul Bar


Sehari selepas pulang ke Kaherah, saya meneruskan misi kembara ke kota Fayoum, kota yang sinonim dengan peninggalan sejarah Qarun. Selepas melawat istana Qarun, saya teruja melihat sebuah tasik yang timbul di tengah-tengah padang pasir. Tasik itu adalah tasik yang ketiga terbesar di Mesir. Keluasan tasik itu dikatakan seluas harta dan khazanah Qarun yang ditenggelamkan oleh Allah kerana kesombongannya lantaran limpahan kekayaan yang dinikmatinya. Melihat sendiri balasan azab Allah di dunia kepada manusia yang angkuh untuk taat kepadaNya mengetuk pintu hati ini untuk insaf. Sedangkan ramai Qarun- Qarun di luar sana yang sudah lama berseronok. Tambahan, harta mereka dari sumber yang haram, dan harta itu pula digunakan untuk menzalimi orang lain. Tidak dapat saya bayangkan betapa azabnya kesudahan mereka nanti. Nauzubillah.. 

Allah berfirman: 
  
لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلا تُحَمِّلْنَا مَا لا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ  
 (Al Baqarah 2:286)


Ayat ini yang menjadi doa harian pagi dan petang, saya alunkan dengan penuh keinsafan. Fayoum membangunkan hati yang tidur untuk tunduk dan taat kepadaNya.

Istana Qarun







Tasik Qarun yang terbentang luas di tengah padang  pasir









Sepatutnya, pada hari esoknya, saya meneruskan catitan musafir dalam jaulah makam iaitu menziarahi makam-makam auliya' dan para ulama' namun Allah tidak mengizinkan. Pada hari itu saya perlu menyelesaikan urusan visa untuk pulang ke Malaysia. Semoga Allah memberi kesempatan kepada saya di lain masa.

Pada 7 Ogos, saya diberi peluang untuk menikmati keindahan bandar Alexandria. Bertandangnya saya ke Alex hanyalah untuk menziarahi sahabat yang berada di sana di samping membeli sedikit buah tangan untuk dibawa balik ke Malaysia. Tempat-tempat menarik di situ belum lagi saya terokai. Puasa dan batasan waktu selama hanya tiga hari berada di sana hanya sempat saya manfaatkan untuk menafsir keindahan bandarnya yang berada di pesisiran pantai. Indah dan mendamaikan.

Bandar Alexandria yang berada di pesisiran pantai



Kini, saya telah selamat berada di tanah air tercinta. Pulang dengan mengutip 'ibrah berharga dari sebuah kembara di bumi musafir. Alhamdulillah..








5 comments:

  1. kak madihah! makin berseri nampak hihi

    ReplyDelete
  2. shalina..ah, rindunye..b'seri apenye duk main tengah2 panas.mkin gelap adalah..:D

    ReplyDelete
  3. Dr Madihah....gambar2 di atas pengubat impian yg tidak kesampaian...hahaha

    ReplyDelete
  4. saya rasa tadi sy nampak k.madihah dlm tv..hihi ^_^ sebelah pm

    ReplyDelete
  5. afiqah, nk dtg mai la..nnti sy bwk g jln2 :)
    shalina, mybe 2 bkn k madihah, tp kmbar k madihah.ade2 je lah shalina ni..

    ReplyDelete