"Salam. Ni Suraya ea?", Ahmad memulakan bicara di laman chatting.
"Wassalam" Belum sempat Suraya membalas pertanyaan, tulisan Ahmad terpapar lagi di skrin laptop.
"Awak ingat saya tak? Saya Ahmad. Ahmad yang sekelas ngan awak masa darjah 6 dulu tu.."
"Oooh Ahmad. Ahmad bin Yazid? Macam mana boleh tak ingat, awak kan budak lelaki yang paling nakal kat sekolah dulu?"
Respon Suraya merancakkan perbualan mereka. Tidak hanya terhenti setakat chatting di facebook, masing-masing saling berbalas SMS. Mereka mula mengenali dengan lebih rapat.
Ta'aruf selesai.
Dari ta'aruf bercambahnya benih cinta dan kasih antara Ahmad dan Suraya. Hati berbunga mekar. Si kekasih sentiasa terbayang di mata. Tidur diulit mimpi bersama si dia. Bangun pagi esoknya dan hari-hari seterusnya, cinta itulah menguatkan langkah menghadapi hidup.
Semudah itu menggapai cinta dari sebuah perkenalan walau hanya di alam maya. Sifirnya mudah, dari ta'aruf, hadirnya cinta. Pepatah Melayu juga ada menyebut, "Tak kenal maka tak cinta" bukan?
Semudah itukah juga menggapai cinta Allah? Sifirnya masih tetap sama. Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda,
"Pemulaan bagi agama itu adalah mengenali Allah"
Ma'rifatullah.
Itulah kalimah yang sering kita lupa. Jika cara berta'aruf dengan hambaNya seperti digambarkan dalam dialog antara Ahmad dan Suraya, bagaimana pula bentuk ta'aruf antara hamba dan Khaliq?
Apakah yang akan dijawab oleh Ahmad dan Suraya jika soalan ini ditanya kepada mereka?
Yang pasti, ta'aruf antara mereka didasari nafsu tetapi ta'aruf dengan Allah didasari iman dan taqwa. Kedua-duanya menghasilkan NATIJAH CINTA. Namun, cinta manusia selalunya menghadirkan kegelisahan tapi cinta Allah menghembus ketenangan. Dan yang mana yang kekal untuk kebahagiaan hakiki, tepuk dada tanyalah iman.
Hakikatnya, setiap insan dianugerahkan fitrah ingin bertuhan. Dinukilkan di dalam Al-Quran bagaimana Nabi Allah Ibrahim a.s mencari Tuhan yang kekal dan tidak hilang seperti bintang, bulan dan matahari, begitulah juga keinginan yang perlu ada dalam diri kita untuk mengenali siapa Tuhan kita. Tuhan Kekasih abadi.
Dari situlah timbulnya rasa untuk berta'aruf denganNya. Ingin sekali mengenaliNya dengan lbih dekat. Namun bagaimana? Jawapannya akan saya susuli dalam penulisan-penulisan saya yang akan datang.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment