December 06, 2012

Hanya Satu Pilihan

Semasa di bangku sekolah..

"Betul ke nak keluar MTS, nak masuk maahad?"

Ketika nekad mengahabiskan hafazan al-quran di DQ sebelum melanjutkan pelajaran di mana-mana IPTA..

"Madihah, nak stay DQ ke? Kan awak dapat tawaran interview JPA? Pergilah dulu, mana tahu dapat tawaran sambung belajar ke Mesir.."

Seusai khatam pengajian di DQ sebagai pelajar persijilan tahfiz DQ-UIAM 09/10..

"Awak nak stay UIA ke nak datang Mesir?"

Antara pilihan-pilihan terbesar yang telah saya lakukan dalam hidup sehingga berdirinya saya saat ini adalah seperti saya yang berada di hadapan kalian. Jika tidak pilihan ini saya lakukan, mungkin takdir saya bukan begini.

Allah...

Kali ini pilihan itu datang lagi. Bukan pilihan untuk menyambung pelajaran atau apa-apa yang seangkatan dengannya. Tapi, pilihan itu datang dalam bentuk amanah. Tiada satu pun kelebihan yang saya peroleh jika saya memilih dengan jawapan "Ya". Malah, mungkin kesusahan sahaja yang akan menghujani diri saya yang serba kekurangan ini serta dosa yang sentiasa menjadi tabiat harian.  Memang betul manusia tidak maksum seperti Baginda s.a.w, tapi hanya saya dan Dia sahaja yang tahu sejauh mana keikhlasan taubat saya itu dipohon. Astaghfirullah, sungguh aku bukanlah orang yang layak ya Allah..

Jika saya hanya memikirkan kestabilan akademik dan pelajaran saya..

Jika saya hanya memikirkan keluarga saya..

Jika saya hanya memikirkan pandangan orang-orang sekeliling saya..

Pasti "Tidak" jawapan muktamad saya. Titik.

Tapi..saya masih ingat, sejak di alam ruh lagi, saya telah berjanji dengan Dia:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آَدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ
Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
(Surah Al-A'raf 7:172)

Saat syahadah itu telah saya lafazkan, saya telah berikrar untuk hidup hanya demi Dia. Bagaimana? Dengan melalui jalan-jalan kebaikan yang telah Dia hamparkan. Saya hanya perlu memilih.

Apakah jalan kebaikan itu? 

وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان )


Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah Al-Maidah 5:2)

Saya tahu dan saya yakin dengan jalan ini, saya melakukan kebaikan. Saya membantu orang lain, memudahkan urusan mereka, menyumbangkan kebaikan malah mungkin lebih besar daripada itu, saya menjalankan amanah dakwah kepada masyarakat sekeliling saya dengan menyebarkan kebaikan islam biarpun tenaga dan masa saya menjadi taruhan. Selagi segalanya saya niatkan untuk Allah dan agamaNya, maka patutkah saya memilih jawapan "Tidak"?

Sungguh, seorang yang mengaku beriman, sembilan kali dalam solatnya mengucap syahadah, malah  telah bejanji dengan 17 kali al fatihah dalam solatnya untuk hanya memperhambakan diri kepada Allah tidak akan hidup untuk dirinya sendiri. Tidak hanya hidup memikirkan kepentingan diri semata-mata kerana dia tahu dan yakin matlamat hidupnya adalah mencari redha Allah semata.

Saya juga yakin apabila saya berada di jalan ini, Allah hantarkan sahabat-sahabat yang datang menghulurkan bantuan. Menyokong dan bersama saya tika senang dan susah. Mereka datang memberikan peringatan ketika saya alpa. Mereka menguatkan saya ketika saya lemah. Mereka menyayangi saya ketika yang lain tidak menyukai. Mereka membela saya tika saya tak berdaya menghalang tohmah dan fitnah. Kerana Allah tidak akan pernah membiarkan saya keseorangan. Sekalipun tiada manusia lain bersama, Dia tetap ada selamanya untuk saya.

Dengan itu, saya hanya punya satu pilihan.

Belajar, bekerja dan beramal kerana matlamat bukan kerana semangat.
Semoga Allah sentiasa menempatkan kita di atas jalan petunjukNya.
AMEEN..IN SHAA ALLAH...