Agak lama tidak mengupdate blog. Masa-masa lapang seusai pulang ke tanah air saya manfaatkan untuk berbakti kepada keluarga. Kadang-kadang saya keluar bersama rakan-rakan lama yang sepengajian dengan saya di maahad. Banyak yang telah berubah. Bermula daripada suasana keluarga (kerana masing-masing semakin membesar dan matang), teman-teman (dengan penampilan sebagai watak remaja), jiran-jiran, saudara-mara, seterusnya masyarakat Malaysia sendiri.
Mengapa masyarakat Malaysia berubah?
Setahun saya tinggalkan tanah air tercinta ini sudah cukup menzahirkan perbezaan dulu dan kini. Ada kalanya ketika bosan keseorangan berada di rumah kerana yang lainnya keluar menunaikan amanah sebagai khalifah bumi pinjaman Allah, ibu jari saya pantas menekan butang remote televisyen untuk menonton rancangan-rancangan yang disiarkan. Apa yang menarik perhatian saya, banyak siaran televisyen kini yang ingin menyampaikan mesej islam secara halus dan dalam keadaan kita tidak sedar. Satu perubahan yang cukup mengagumkan!
Program-program kartun seperti Mat Jo yang disiarkan sepanjang Ramadhan menunjukkan pendekatan berani dalam menyelitkan mesej islam melalui kisah-kisah ulama' untuk diadaptasi dalam dunia kanak-kanak. Satu usaha yang boleh dipuji. Program kartun tempatan lain seperti Boboiboy juga ada menyelitkan mesej islam walaupun secara tidak langsung melalui penciptaan watak kanak-kanak perempuan bertudung. Saya dikejutkan lagi dengan satu cerita Melayu yang bersiaran lebih kurang dua jam dengan judulnya Mencari Bidadari. Apa yang saya ingat tentang kisahnya, pada endingnya, seorang lelaki bersetuju mengahwini seorang perempuan yang merupakan anak kepada gurunya walaupun anaknya telah dikhabarkan buta, pekak dan bisu. Namun, selepas diakad nikah dan si suami bertemu mata dengan si isteri, ternyata isterinya bukan seperti yang digambarkan ayahnya. Malah dia lebih cantik dan serba sempurna. Rupa-rupanya apa yang dimaksudkan ayahnya, anak gadisnya itu buta dari melihat maksiat, pekak dari mendengar perkara yang melailakn dan bisu dari bercakap sesuatu yang buruk dah boleh menyakiti hati orang lain. Hebat bukan?
Drama seperti Ramadhan Terakhir dan Stanza Cinta juga patut diberi pujian dengan pembawaan watak dan mesej yang islamik. Lupakan seketika kontroversi yang melanda Nur Kasih dan kini Tahajjud Cinta arahan Erma Fatima. Cuba kita lihat dari perspektif yang berbeza dan tidak menggunakan emosi, bukankah karya ini ditonjolkon untuk satu percubaan baru dalam dunia perfileman? Iaitu satu percubaan untuk menggambarkan kehidupan masyarakat islam walaupun banyak juga gambarannya yang salah. Saya tidak mahu melontorkan pendirian yang jelas tentang drama Tahajjud Cinta yang sedang hangat ditayangkan kerana saya sendiri agak ketinggalan dan hanya sempat beberapa kali sahaja menonton episod drama kontroversi ini. Jika nature drama ini benar-benar ada berlaku dalam masyarakat kita, saya menggapnya sebagai suatu kritikan sosial. Tetapi jika ia hanya direka-reka untuk memburukkan islam dan menyindir hukum-hukum Allah, saya sendiri tidak bersetuju dengan penayangannya.Dari sudut yang lain, sebenarnya dakwah islam sudah melebar luas kepada masyarakat negara ini sehingga memaksa para penggiat seni tanah air untuk memaparkan kisah-kisah islamik sesuai dengan permintaan masyarakat. Berapa ramai artis-artis wanita tempatan seperti Catriana Ross dan Raja Farah yang mula memakai jilbab serta Bob Lokman yang meninggalkan dunia hiburan atas kesedaran ini?
Beralih kepada dunia politik, bagaimana pula dengan Umno yang mula menyedari kepentingan ulama' untuk meraih sokongan rakyat dengan adanya Ulama' Muda Umno? Bukankah ini juga menunjukkan bahawa orang Melayu di negara ini sudah mula menyedari kepentingan hidup beragama? Tidakkah ini satu petanda yang jelas bahawa masyarakat kita telah berubah?
Saya Anak Malaysia
Tanggal 31 Ogos 2011 bersamaan 2 Syawal 1432H yang lalu, sekali lagi kita berpeluang menyambut hari kemerdekaan yang ke-54. Alhamdulillah.. Jika dulu, saya tidak begitu mengerti apa ertinya kemerdekaan, kini dengan perubahan ini menaikkan lagi semangat saya untuk memaknakan erti kemerdekaan yang sebenar. Pena yang menulis saat ini menjadi saksi pada sebuah janji yang lahir dari hati untuk membebaskan negara ini dari segala bentuk penjajahan demi ISLAM yang berdaulat kerana saya anak Malaysia.
No comments:
Post a Comment