September 26, 2011

Palestin Yang Dilupakan

Kemelut Palestin yang tidak pernah menemui titik noktah, janji-janji Israel dengan segala macam rundingan palsunya, Amerika Syarikat yang bersandiwara kononnya ingin mengambil langkah keamanan dengan negara-negara asia barat seakan menutup isu Palestin dari perhatian masyarakat dunia. Seketika ia rancak apabila kapal kemanusiaan, Mavy Marmara yang membawa bekalan bantuan kepada rakyat Palestin diserang tentera Israel durjana, kemudian senyap kembali tanpa sebarang tindakan pun yang mampu diambil oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada tentera Zionis itu. Israel tidak langsung boleh diusik oleh sesiapa pun. Kekebalannya mengatasi kuasa dunia. Rakyat Islam Palestin terus diseksa, ditindas, dizalimi dan dibunuh tanpa belas. Hidup sebagai buruan di negara sendiri. Batu dijadikan senjata untuk melawan bedilan-bedilan bom. Anak-anak kecil seusia tujuh lapan tahun sudah mengerti erti jihad dan syahid. Air mata telah kering, malam mereka bukan dihiasi mimpi indah untuk menjalani hidup yang mendatang tapi dipersiapkan diri untuk mati di esoknya. Alangkah sedihnya kerana saya hanya mampu menonton dan melihat saudara seislam diperlakukan serakus itu.

Mahmood Abbas
Kini, isu Palestin hangat kembali. Tatkala tiada apa yang boleh diharapkan daripada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Mahmood Abbas bangun berucap, menuntut dan memohon autoriti Palestin ketika Perhimpunan Agung PBB, 23 September yang lalu. Apa yang menarik, seluruh anggota PBB yang mewakili negara-negara dunia bangun dan bertepuk tangan sebagai tanda sokongan kecuali Israel dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat yang tetap angkuh di kerusi masing-masing.

Yang peliknya, reaksi Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama itu seakan bertentangan dengan manifesto pilihan rayanya sebelum ini sehingga beliau diangkat sebagai presiden. Kononnya ingin mengambil langkah perdamaian dengan negara-negara Asia Barat, namun lihatlah. Akhirnya, Amerika Syarikat membuktikan kepada dunia siapa sebenar dirinya. Barrack Obama adalah orang pertama selepas israel yang menentang sekeras-kerasnya permohonan Palestin itu. Malah Barrack dengan angkuh dan sombongnya berkata andai permohonan itu dipersetujui majoriti, beliau tidak teragak-agak untuk menggunakan kuasa veto Amerika Syarikat bagi menghalang hasrat Palestin itu. Tidak cukup dengan itu, beliau menghantar Menteri Luarnya, Hallary Clinton dan Dennis Ros untuk ke Timur Tengah, melobi dan memujuk para pemimpin Arab agar tidak mendukung langkah itu.

Penderitaan rakyat Palestin yang tidak berkesudahan
Jika disorot kembali sejarah hitam bumi Palestin selepas kejatuhan khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924, jelas rakyat Palestin tidak dilayan dengan adil. Monopoli Yahudi menidakkan hak-hak rakyat Palestin. Mana tidaknya, pada 29 November 1947, PBB mengeluarkan keputusan membahagikan Palestin kepada dua bahagian, satu untuk bangsa Arab dan satu untuk bangsa Yahudi sedangkan kerajaan israel yang mengatakan Palestin sebagai tanah air mereka telah lama mengalami kehancuran dan pengusiran demi pengusiran. Jika ditelusuri sejarah dengan teliti, mereka sebenarnya bukanlah penduduk asal bumi Palestin. Mereka hanya ingin menguasai Palestin kerana ia merupakan pusat strategik ketenteraan yang boleh dijadikan tonngak untuk menguasai dunia. Cadangan Theodor Herzl dalam persidangan Yahudi yang pertama diadakan di Basle pada 29 Ogos 1897 untuk menubuhkan negara Yahudi di Palestin akhirnya direalisasikan pada 14 Mei 1948 apabila British yang mengakhiri penjajahannya di Palestin mengumumkan penubuhan negara Israel. Presiden Amerika Syarikat pula mengiktiraf kerajaan haram israel sehari selepas itu. Walaupun pengiktirafan ini menyebabkan pengisytiharan perang oleh kebanyakan negara-negara arab ke atas israel, namun peperangan ketika itu hanya memberi kelebihan kepada israel. Sehingga kini, tiada pembelaan ke atas nasib Palestin. Dan bukankah Allah telah berfirman:

وَلَن تَرْضَى عَنكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ 
(Al-Baqarah 2:120)

Hampir 30 tahun rundingan damai yang tidak pernah berhasil dan kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin yang berterusan mana mungkin tidak merobek kesabaran Mahmood Abbas untuk terus bertahan, sebaliknya bangun menuntut autoriti Palestin agar PBB mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka selain turut mengiktirafnya sebagai negara anggota ke 194 badan dunia itu. Amerika Syarikat sudah jelas kelihatan tertekan. Gentar dengan ancaman israel. Jika Amesika Syarikat menyokong, padahnya, tidak mustahil akan muncul selepas ini presiden Amerika Syarikat yang pertama dari bangsa Yahudi kerana politik negara itu dikawal ketat oleh Zionis laknatullah. Maka tidak hairanlah, Amerika Syarikat sanggup mengenepikan sokongan dunia terhadap tuntutan itu dengan mengugut untuk menggunakan kuasa vetonya. Biarkan..Biarkan Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya. Biarkan Mahmood Abbas tewas dalam tuntutan ini. Sekurang-kurangnya, masyarakat dunia telah dapat melihat siapa sebenarnya Amerika Syarikat yang selama ini hanya bertopengkan keamanan, penuh hipokrasi. Sekurang-kurangnya,israel dan Amerika Syarikat akan dimalukan kerana menghalang keamanan dunia. Sekurang-kurangnya, isu Palestin kembali mendapat perhatian masyarakat dunia. Sekurang-kurangnya, negara-negara islam melalui OIC tersedar dari lamunan dan mengkaji kembali peranannya untuk membantu negara-negara islam yang ditindas khususnya Palestin.

Palestin yang dilupakan sekali lagi membuka mata dunia. Hakikatnya, Allah itu ada. Sekalipun Yahudi merancang, ingatlah Allah itu Maha Perancang. Janji Allah itu pasti. Cuma, Dia menunggu kebangkitan kita. Dia menunggu hadirnya orang-orang yang sabar dan ikhlas memperjuangkan agamaNya. Sehingga itu, yakinlah KEMENANGAN PASTI MILIK ISLAM!!



No comments:

Post a Comment