Peluang untuk menghadiri Seminar Undang-Undang Syariah Peringkat Kebangsaan sempena Majlis Sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan pada 20 September yang lalu saya cuba manfaatkan dengan sebaiknya. Bermula dengan pembentangan kertas kerja 1 bertajuk "Peruntukan Perlembagaan dan Bidang Kuasa Agama Negeri dalam Memperkasakan Undang-Undang Syariah" oleh Tn. Hj. Mahamad Naser bin Disa, Timbalan Ketua Bahagian Penasihat Syariah Jabatan Peguam Negara dan diteruskan dengan perasmian oleh YAB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dan seterusnya pembentangan kertas kerja 2 yang bertajuk "Hudud Satu Pencegahan dan Pendidikan, Bukan Hukuman" oleh Prof Madya Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, penceramah bebas yang cukup disegani. Di sebelah petangnya diadakan diskusi dan sesi dialog bersama para pembentang kertas kerja dan penceramah jemputan, Dr Abdul Basit bin Ab Rahman.
|
Perasmian oleh YAB Tuan Guru |
Dari seminar ini, banyak input-input yang dapat saya kongsikan dengan anda tentang hakikat hudud yang menjadi isu hangat pada hari ini. Apa yang menarik perhatian saya, mengikut Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama bagi persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Perlembagaan tidak pernah menyebut Islam sebagai agama rasmi sebaliknya ia adalah agama persekutuan iaitu agama negara sekali gus menafikan bahawa islam dalam perlembagaan hanyalah untuk upacara ritual dan keagamaan semata-mata. Dan Perkara 4 (1) yang menyatakan pelembagaan adalah undang-undang tertinggi negara sepatutnya tidak menafikan kedudukan islam sebagai agama negara, bahkan ia memartabatkan Perkara 3(1) itu. Walaupun sebelum ini kebebasan beragama dijadikan hujah untuk orang islam menukar agama seperti dalam kes Kamariah Ali dan Lina Joy, Mahkamah Tertinggi Negara telah memutuskan bahawa islam sebagai agama persekutuan tidak sama dengan agama-agama lain. Bahkah, hanya islam sahaja satu-satunya agama yang disebut dalam perlembagaan negara. Jelas, perlembagaan kita sebenarnya memberi ruang untuk pelaksanaan syariat islam secara total termasuklah pelaksanaan hukum hudud jika Persekutuan menyedari tanggungjawabnya untuk memastikan penggubalan atau pelaksanaan dasar bagi perkara berkenaan mematuhi agama negara atau tidak menjejaskan agama negara. Walaupun Perkara 162 meletakkan undang-undang inggeris sebagai
temporary and transition, prinsip agama dalam perlembagaan terus diketepikan. Yang menjadi masalah sebenarnya, penafsiran perlembaagaan yang salah menidakkan usaha memperkasakan undang-undang Syariah di Malaysia. Manakala pemikaran umat islam pula masih dibelenggu undang-undang inggeris itu.
|
Pembentangan kertas kerja oleh Dr Asri Zainul Abidin |
|
Sesi dialog sebelah petang |
Dr Asri dalam pembentangan kertas kerjanya menyatakan hudud sebenarnya hanyalah mekanisme untuk mencegah jenayah dan mendidik masyarakat, bukannya asas kenegaraan dalam islam. Islam menetapkan keadilan dan maslahat negara berteraskan prinsip-prinsip al-quran dan as-sunnah sebagai asas yang utama. Justeru, gambaran negara islam sebagai negara hudud adalah tidak tepat. Namun, menjadi kewajipan pemimpin negara islam untuk memastikan hukum Allah itu terlaksana. Pun begitu, pemimpin perlu memastikan persekitaran yang kondusif untuk melihat perjalanan hudud itu berlaku dengan adil tanpa cetusan fitnah. Huraiannya, anda boleh baca sendiri dalam blognya
drmaza.com untuk mendapat penjelasan yang lebih terperinci.
Ketika ditanya wartawan, YAB Tuan Guru dengan tegasnya menyatakan pendirian untuk tetap melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan menyifatkan Kelantan telah kondusif untuk pelaksanaan undang-undang itu dan hanya menuggu kelulusan persekutuan sahaja lagi untuk menggubal beberapa perkara dalam perlembagaan. Walaupun ditentang pelbagai pihak, namun hasrat itu tidak pernah berganjak selaras matlamat perjuangan PAS. BN pula menyatakan alasan kondisi negara yang masih tidak sesuai untuk dijalankan hukum hudud. PAS dituduh mencetus polimik untuk meraih sokongan orang Melayu. Tidak kurang juga yang menyifatkan YAB Tuan Guru mempermain-mainkan agama kerana menjadikan hudud sebagai mainan politik. Malah, Khairi Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno menuntut agar persekutuan membenarkan hudud di negeri-negeri pakatan untuk melihat sejauh mana kebenaran perjuangan PAS. Teruskan..Teruskan tuntutan itu Khairi Jamaluddin. Saya menyokong dan kita lihat nanti bagaimana hudud itu dilaksanakan PAS.
Benar, keadaan mungkin belum cukup kondusif untuk pelaksanaan hudud dan memerlukan bebrapa ijtihad baru, namun bagaimana keadaan kondusif itu dapat direalisasikan andai tiada langsung usaha untuk mewujudkan keadaan kondusif itu? Mengapa berterus-terusan memberi alasan keadaan negara yang belum cukup kondusif sedang pemimpin sendiri yang tidak cuba mengkondusifkan keadaan? Jadi wajarlah saranan YAB Tuan Guru disambut baik oleh masyarakat Kelantan kerana kerajaan Kelantan dilihat begitu konsisten mewujudkan keadaan kondusif dengan usahanya memartabatkan islam dan menunjukkan kebaikan islam yang sebenar di mata
non muslim di negeri Kelantan. Bukankah begitu wahai rakyat Malaysia? Hudud bukan sekadar isu tetapi satu kewajipan. Fikir-fikirkanlah..
No comments:
Post a Comment