August 26, 2012

Hati Fitrah

Dalam diam menyepi, bukan niat tak peduli, tapi sekadar menenangkan diri, muhasabah kekurangan dan kealpaan yang menyelubungi. Kadang-kadang, terasa juga mementingkan diri sendiri tapi tak salah menyayangi diri untuk lebih menyayangi orang lain. Ah, bukan style saya bermadah dengan luahan isi hati sebegini! Cuma kadang-kadang, hati perlu dipujuk setelah tegar sekali menyeksanya dengan mujahadah. Menyeksa untuk mendidik, memujuk untuk melunak.. Agar ia kembali kepada fitrah sebelum bertemu dengan Rabbul Izzati..

Firman Allah:


Maksudnya: Pada hari ketika tiada manfaatnya harta dan anak pinak (88) Kecuali yang datang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera (89)
[Surah As-Syu'ara' ayat 88-89]

Kemeriahan eidulfitri masih terasa walaupun Ramadhan yang pergi masih belum terasa sempurna. Eidulfitri yang sepatutnya dirai kerana kemenangan kembali kepada fitrah, fitrah insan berhati suci tanpa dosa, fitrah insan yang dinalurikan cinta kepadaNya sejak di alam ruh lagi, sebaliknya diraikan sekadar memenuhi tuntutan adat. Adat yang tidak menjadi ibadat (adat boleh menjadi ibadat jika dilakukan keranaNya dan menepati syariatNya). Menulis memang mudah, tapi merasanya sendiri sangat susah. Dek kerana fitrah telah dicemari dengan fitnah. Kadang-kadang sahaja iman itu mengetuk, sebelum nafsu pula yang mengamuk.

Pernah diri ini merasa malu untuk kembali kepada Dia lantaran terasa hina kerana sumbangan dosa pada kitab amalan yang tidak pernah henti, justeru berterus-terusan melakukan dosa saat terasa diri ini tidak layak untuk berdamping denganNya. Namun, kerana fitrah tidak meredhai, hati menjadi sempit. Ketenangan yang pernah dirasai seolah dicabut tanpa belas. Itulah nature fitrah yang akan memberontak apabila ia disalahi.Bagaimana pula dengan sahabat-sahabat di luar sana? Yang sama sekali jauh dengan fitrah. Soalah-olah fitrah itu terpisah langsung daripada jasad. Tiadakah walau sekelumit rasa bersalah? Bahkan ada walau sebesar zarah. Cuma, ia masih menunggu untuk di'bangun'kan. Dibangunkan oleh hati-hati yang subur dengan fitrah bertuhan.

Hati yang subur dengan fitrah bertuhan bukanlah hati yang kecewa dengan takdirnya, bukanlah hati yang sentiasa meronta meluahkan rasa untuk perhatian manusia (jika tidak meluahkan rasa, mengeluarkan statement 'kontroversi' berkaitan diri sendiri sudah cukup mengundang perhatian rakan-rakan di fb bukan? Dan bilangan like dan coment yang banyak menjadi landmark perhatian orang lain terhadap dirinya? Betulkah? Tepuk dada, tanya hati. Jika salah, harap dimaafi ^^), bukanlah hati yang busuk dengan hasad dan dengki, dan bukan jua hati yang khayal dengan 'cita-cita'(layakkah dipanggil cita-cita?) yang tidak membumi realiti malah melalai diri. Tapi, hati yang subur dengan fitrah bertuhan itu adalah hati yang sentiasa merasai kehadiran Tuhan Yang Maha Berkuasa dalam dirinya, pada setiap percakapan dan perlakuannya.

Wahai sahabat, wahai teman, tanyalah diri.. Layakkah aku meraikan eidulfitri ini? Jika merasakan teragak-agak untuk menjawab persoalan ini, belum terlambat untuk mengejar kembali apa yang hilang. Jom sama-sma puasa 6! :)




1 comment: