January 31, 2013

Fitnah Cinta

Separuh penggal pengajian tahun 3 telah selesai saya tempuh. Namun, kudrat usaha dalam medical jihad masih kurang memuaskan. Mencipta alasan hanya menambah penat. Cukup sekadar saya katakan, saya belum bersedia sepenuhnya berubah 360' daripada kehidupan saya sebelum ini kepada orang baru yang menggalas amanah untuk komunitinya. Momentum baru yang perlu saya upgradekan dengan genggaman matlamat yang saya perjuangkan. Insya Allah..

20 tahun mengenal dunia tapi langsung tidak mengenal diri sendiri. Lelahnya mencari Tuhan berakhir dengan satu titik penemuan. Perasaan apakah yang mampu digambarkan apabila hidayahNya mengetuk hati untuk bangun meninggalkan fantasi dan berdepan realiti?

Tatkala tenangnya jiwa merawat luka lalu, sangkaan panas sampai ke petang, rupanya meleset apabila hujan di tengah jalan. HidayahNya tidak Dia hamparkan dengan jalan mudah. Pasti di situ lagi banyak parah. Jika dulu hanya duri yang menghalang, kaki masih mampu bregerak walau sakit. Tapi kini, tembok besar juga jerat yang mengikat kaki langsung menghalang diri dari meneruskan langkah. Tersungkur beberapa kali, parut lama kembali bernanah.

Benarlah.. Makin dewasa, makin ramai manusia yang ditemuinya, makin bertambah ujiannya, makin matang dirinya. Ucapan "Aku cinta padamu Tuhan. Aku rindu untuk bertemu denganMu ya Allah" bukan lagi hanya munajat harian yang dilafazkan tika bangun tahajjud malam tapi ia adalah lafaz yang perlu dibuktikan dengan amal dan perbuatan. Ketelusan cinta pada Ilahi diuji tanpa henti. Jika tewas, hilanglah ikhlas. Jika menang, bertambahlah ikhlas. Bertambahlah cinta. Bertambahlah iman. Bertambahlah ihsan. Seperti kata Sheikh Rohimuddin dalam buku tulisannya, Kompilasi Ma'rifah & Cinta, asas tasawwuf adalah maqam ihsan seperti yang didefinisikan oleh Rasulullah:

"Engkau beribadat kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, kemudian jika engkau tidak dapat melihatNya, maka Dia melihat kamu"

Manusia yang mencari-cari hakikat cinta, pantas Allah uji juga dengan cinta. Cinta biasa-biasa mungkin boleh ditepis tapi bila hadirnya ia dengan fitnah apatah lagi bila dikaburi insan dilabel rijal dakwah, cukuplah soalan ini ditanya:
"Setakat ini sahajakah iman yang kononnya menjadi paksi dakwah yang diperjuangkan?"


Wahai muslimah-muslimah di luar sana, redhakah dirimu jika maruahmu dijaja, namamu disebut-sebut dan dikau di'kahwin'kan pula di alam maya oleh rijal-rijal tanpa pernah walimu didatangi? Jika pada pandangan matamu, banyak ilmunya.. Jika pada pandangan matamu, tinggi akhlaknya.. Jika pada pandangan matamu, hebat tutur bahasanya apatah lagi dihias dengan kalam Allah dan rasulNya.. Jangan sesekali kau terpedaya jika dia merelai dirimu menjadi bahan bualannya dengan teman-temannya sehingga dirimu difitnah. Solehkah rijal seperti ini jika ini yang ingin kau namakan suami?

Berapa ramai pula muslimah-muslimah di luar sana yang gembira apabila namanya dijaja lelaki.. Berapa ramai pula muslilmah-muslimah di luar sana malah berbalas-balas comment dalam laman sosial dengan lelaki yang memuji-muji dirinya tanpa malu?

Wahai wanita muslimah.. Lelaki yang soleh sangat malu untuk menyebut namamu. Malunya bukan kerana malu pada dirimu, tapi malunya kerana dia malu pada Tuhannya. Malu jika dia menduakan cinta pada Tuhannya. Sebab itu, bila timbulnya rasa cinta pada dirimu, lantas terus dia mendatangi walimu kerana dia mahu menghalalkan cintanya kerana cintanya pada Tuhannya mengatasi cintanya pada yang lain. Jika dia tidak mampu melakukan sedemikian rupa, puasa adalah baik baginya.

December 06, 2012

Hanya Satu Pilihan

Semasa di bangku sekolah..

"Betul ke nak keluar MTS, nak masuk maahad?"

Ketika nekad mengahabiskan hafazan al-quran di DQ sebelum melanjutkan pelajaran di mana-mana IPTA..

"Madihah, nak stay DQ ke? Kan awak dapat tawaran interview JPA? Pergilah dulu, mana tahu dapat tawaran sambung belajar ke Mesir.."

Seusai khatam pengajian di DQ sebagai pelajar persijilan tahfiz DQ-UIAM 09/10..

"Awak nak stay UIA ke nak datang Mesir?"

Antara pilihan-pilihan terbesar yang telah saya lakukan dalam hidup sehingga berdirinya saya saat ini adalah seperti saya yang berada di hadapan kalian. Jika tidak pilihan ini saya lakukan, mungkin takdir saya bukan begini.

Allah...

Kali ini pilihan itu datang lagi. Bukan pilihan untuk menyambung pelajaran atau apa-apa yang seangkatan dengannya. Tapi, pilihan itu datang dalam bentuk amanah. Tiada satu pun kelebihan yang saya peroleh jika saya memilih dengan jawapan "Ya". Malah, mungkin kesusahan sahaja yang akan menghujani diri saya yang serba kekurangan ini serta dosa yang sentiasa menjadi tabiat harian.  Memang betul manusia tidak maksum seperti Baginda s.a.w, tapi hanya saya dan Dia sahaja yang tahu sejauh mana keikhlasan taubat saya itu dipohon. Astaghfirullah, sungguh aku bukanlah orang yang layak ya Allah..

Jika saya hanya memikirkan kestabilan akademik dan pelajaran saya..

Jika saya hanya memikirkan keluarga saya..

Jika saya hanya memikirkan pandangan orang-orang sekeliling saya..

Pasti "Tidak" jawapan muktamad saya. Titik.

Tapi..saya masih ingat, sejak di alam ruh lagi, saya telah berjanji dengan Dia:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آَدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَذَا غَافِلِينَ
Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".
(Surah Al-A'raf 7:172)

Saat syahadah itu telah saya lafazkan, saya telah berikrar untuk hidup hanya demi Dia. Bagaimana? Dengan melalui jalan-jalan kebaikan yang telah Dia hamparkan. Saya hanya perlu memilih.

Apakah jalan kebaikan itu? 

وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونوا على الإثم والعدوان )


Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah Al-Maidah 5:2)

Saya tahu dan saya yakin dengan jalan ini, saya melakukan kebaikan. Saya membantu orang lain, memudahkan urusan mereka, menyumbangkan kebaikan malah mungkin lebih besar daripada itu, saya menjalankan amanah dakwah kepada masyarakat sekeliling saya dengan menyebarkan kebaikan islam biarpun tenaga dan masa saya menjadi taruhan. Selagi segalanya saya niatkan untuk Allah dan agamaNya, maka patutkah saya memilih jawapan "Tidak"?

Sungguh, seorang yang mengaku beriman, sembilan kali dalam solatnya mengucap syahadah, malah  telah bejanji dengan 17 kali al fatihah dalam solatnya untuk hanya memperhambakan diri kepada Allah tidak akan hidup untuk dirinya sendiri. Tidak hanya hidup memikirkan kepentingan diri semata-mata kerana dia tahu dan yakin matlamat hidupnya adalah mencari redha Allah semata.

Saya juga yakin apabila saya berada di jalan ini, Allah hantarkan sahabat-sahabat yang datang menghulurkan bantuan. Menyokong dan bersama saya tika senang dan susah. Mereka datang memberikan peringatan ketika saya alpa. Mereka menguatkan saya ketika saya lemah. Mereka menyayangi saya ketika yang lain tidak menyukai. Mereka membela saya tika saya tak berdaya menghalang tohmah dan fitnah. Kerana Allah tidak akan pernah membiarkan saya keseorangan. Sekalipun tiada manusia lain bersama, Dia tetap ada selamanya untuk saya.

Dengan itu, saya hanya punya satu pilihan.

Belajar, bekerja dan beramal kerana matlamat bukan kerana semangat.
Semoga Allah sentiasa menempatkan kita di atas jalan petunjukNya.
AMEEN..IN SHAA ALLAH...

September 24, 2012

Daie Beralasan

Memulakan langkah dalam sesi pengajian tahun baru, tahun tiga..

"Third year medicine is very difficult. You must attend all the class and study hard."

Kata-kata dokturah yang mengajar saya subjek Pharmacology masih terngiang-ngiang dalam benak fikiran. Dokturah semangat, saya lagilah kena SEMANGAT!

"Perjalanan daie' bukan dihampar permaidani merah. Tapi laluannya penuh duri dan kaca. Tak dinamakan berjuang tanpa cabaran dan pengorbanan"

Kata-kata seorang kawan pula seakan ingin menyekat semangat yang hadir.

.................


Mulut berbicara, hati mengia, tapi realiti ???

Sejenak berfikir, benarkah maksud pengorbanan itu seperti pengorbanan yang dimaksudkan?

Entahlah.. Kadang-kadang terasa seperti dunia ini hanya mengulang skrip yang sama, watak yang sama dan lakonan yang sama. Cuma terpulang pada olahan wataknya. Jika sama, maka cerita masih sama dan selama-lamanya akan sama. Penonton pula jemu. 

MATANG

Pelakon yang matang adalah pelakon yang memperbaiki dirinya dengan persoalan kenapa (untuk faham) dan bagaimana (untuk praktikal). Kenapa penonton jemu? Dan bagaimana untuk tidak menjemukan penonton? Pelakon watak merupakan ikon yang dinilai oleh penonton. Penilian sudah tentu dibuat berasaskan bakat dan kemahiran. Sekali gus menjadi bahan pelaku jalan cerita. Berapa banyakkah pula jalan cerita yang laku kerana ceritanya best tapi pelakonnya ala kadar sahaja? Mungkin ada, tapi realiti ???

Mungkin tidak patut mengandaikan pentas dakwah yang suci sama dengan pentas lakonan yang penuh khayalan dan fantasi. Namun, di era daie sendiri yang telah mencampuradukkan haq dan batil, tidak hairanlah ia datang sebagai sindiran. Mana tidaknya, daie berterus-terusan memberi alasan amanah untuk menidakkan amanah yang lain. Tidak kisahlah sama ada memberi alasan dakwah untuk mengenepikan pelajaran atau menidakkan dakwah atas alasan pelajaran. Pelajaran dan dakwah kedua-duanya adalah medan jihad apabila diniatkan untuk Islam. Jika daie yang mengenepikan pelajaran untuk dakwah dikatakan telah melakukan sebuah pengorbanan, jadi secara logik akalnya patut dikatakan bekorban juga bagi orang yang mengenepikan dakwah untuk pelajaran. Orang hebat dalam medan dakwah, tapi gagal dalam pelajaran adalah fitnah. Orang yang hebat dalam pelajaran, tapi lesu dan buta dalam dakwah sepatutnya juga adalah fitnah.

APABILA DAIE MEMBUAT DEFINISI MENGIKUT KONDISINYA

Inilah akibatnya apabila daie sendiri menyempitkan islam yang tersedia syumul dan hanya melihat dan menilainya pada skop yang kecil sehingga melahirkan nilai-nilai sekular dalam diri. Pelajaran lain. Dakwah lain. Membuat definisi sesuai dengan kondisinya. Macam sesumpah. Berubah coklat apabila berada pada batang pokok, berubah hijau apabila berada di atas daun. Tidakkah daie itu melihat bagaimana Rasulullah s.a.w memusatkan segala perkara daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besar perkara ke arah dakwah islam yang syumul? Bukankah daie juga yang sering mengulang-ngulang ayat ini?

"Islam adalah satu cara hidup. Islam mengajar umatnya dari sekecil-kecil perkara seperti adab masuk ke tandas hingga sebesar-besar perkara seperti soal pemerintahan negara"

Maka tidakkah pelajaran dan dakwah termasuk dalam cara hidup islam? Persoalan juga buat penonton yang tidak beraksi. Adakah patut kalian menyatakan gagalnya seseorang kerana sibuk dengan kerja dakwah (apabila melihat daie yang gagal) dan dalam masa yang sama mengatakan berjayanya seseorang kerana sibuk menolong agama Allah dalam kerja dakwahnya (apabila melihat daie yang berjaya)? Jika ya, anda juga adalah sesumpah. Paling malang lagi, anda adalah sesumpah yang malas untuk bergerak (selesa dan suka dengan warna sedia ada) tapi hanya menjadi kaki sorak dan sibuk menilai sesumpah lain yang asyik bertukar warna.

SEBAB SEBAGAI USAHA BUKAN ALASAN

Sebab dicipta sebagai usaha bukan alasan. Untuk berjaya, manusia perlu berusaha dengan gigih tetapi berjayanya manusia tidak boleh dikatakan kerana usahanya yang gigih. Kerana siapalah kita, insan yang sering terdedah dengan dosa, untuk meletakkan kayu ukur usahanya sebagai sebab dia berjaya sedangkan Allah itu bisa sahaja menidakkannya jika Dia menghendaki. Begitu juga dengan daie yang berpegang dengan ayat, (ان تنصروا الله ينصركم ويثبت أقدامكم) Untuk mendapatkan pertolongan Allah, kita perlu berusaha untuk menolong agama Allah, tetapi setelah mendapat pertolongan Allah, secara adabnya tidak boleh kita katakan kita mendapat pertolongan Allah kerana telah menolong agamaNya, kerana siapalah kita untuk menilai nilai IKHLAS disisiNya.

Pointnya mudah dan simple. DAIE BERALASAN. Teruslah beralasan wahai daie jika anda masih mahu berada di level yang sama. Sedang mukmin hari esok lebih baik daripada mukmin hari ini. Bertaqwalah kerana taqwa adalah jalan keluar bagi orang mukmin.

عن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قال : (إتق الله حيثما كنت وأتبع السيئة الحسنة تمحها وخالق الناس بخلق حسن)
<رواه الترمذي>

Konklusinya, pelajar yang menyedari dan memahami tanggungjawab dirinya sebagai daie perlu lebih bersemangat dan bermotivasi untuk belajar dalam berdakwah. Jadi, saya dan anda semua kena SEMANGAT!!! 3X ^^

BUAT PARA DAIE,
JIKA PERNAH GAGAL, JANGAN MENYANDARKANYA PADA PENGORBANAN,.
JIKA BERJAYA, JANGAN MENYANDARKANNYA PADA PERTOLONGAN..
BAIK KEGAGALAN MAHUPUN KEJAYAAN BUKAN ALASAN UNTUK MENGABAIKAN DAKWAH DAN AMANAH..
TETAPI SATU-SATUNYA ALASAN UNTUK TETAP TEGUH TIKA BANGUN DAN JATUH ADALAH  DEMI DIA, RASUL DAN AGAMANYA..

P/S: Sesungguhnya segala nasihat, teguran atau sindiran juga adalah untuk diri saya sendiri yang menjadikan penulisan blog sebagai salah satu medan untuk memberi peringatan kepada diri yang alpa ini.






August 26, 2012

Hati Fitrah

Dalam diam menyepi, bukan niat tak peduli, tapi sekadar menenangkan diri, muhasabah kekurangan dan kealpaan yang menyelubungi. Kadang-kadang, terasa juga mementingkan diri sendiri tapi tak salah menyayangi diri untuk lebih menyayangi orang lain. Ah, bukan style saya bermadah dengan luahan isi hati sebegini! Cuma kadang-kadang, hati perlu dipujuk setelah tegar sekali menyeksanya dengan mujahadah. Menyeksa untuk mendidik, memujuk untuk melunak.. Agar ia kembali kepada fitrah sebelum bertemu dengan Rabbul Izzati..

Firman Allah:


Maksudnya: Pada hari ketika tiada manfaatnya harta dan anak pinak (88) Kecuali yang datang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera (89)
[Surah As-Syu'ara' ayat 88-89]

Kemeriahan eidulfitri masih terasa walaupun Ramadhan yang pergi masih belum terasa sempurna. Eidulfitri yang sepatutnya dirai kerana kemenangan kembali kepada fitrah, fitrah insan berhati suci tanpa dosa, fitrah insan yang dinalurikan cinta kepadaNya sejak di alam ruh lagi, sebaliknya diraikan sekadar memenuhi tuntutan adat. Adat yang tidak menjadi ibadat (adat boleh menjadi ibadat jika dilakukan keranaNya dan menepati syariatNya). Menulis memang mudah, tapi merasanya sendiri sangat susah. Dek kerana fitrah telah dicemari dengan fitnah. Kadang-kadang sahaja iman itu mengetuk, sebelum nafsu pula yang mengamuk.

Pernah diri ini merasa malu untuk kembali kepada Dia lantaran terasa hina kerana sumbangan dosa pada kitab amalan yang tidak pernah henti, justeru berterus-terusan melakukan dosa saat terasa diri ini tidak layak untuk berdamping denganNya. Namun, kerana fitrah tidak meredhai, hati menjadi sempit. Ketenangan yang pernah dirasai seolah dicabut tanpa belas. Itulah nature fitrah yang akan memberontak apabila ia disalahi.Bagaimana pula dengan sahabat-sahabat di luar sana? Yang sama sekali jauh dengan fitrah. Soalah-olah fitrah itu terpisah langsung daripada jasad. Tiadakah walau sekelumit rasa bersalah? Bahkan ada walau sebesar zarah. Cuma, ia masih menunggu untuk di'bangun'kan. Dibangunkan oleh hati-hati yang subur dengan fitrah bertuhan.

Hati yang subur dengan fitrah bertuhan bukanlah hati yang kecewa dengan takdirnya, bukanlah hati yang sentiasa meronta meluahkan rasa untuk perhatian manusia (jika tidak meluahkan rasa, mengeluarkan statement 'kontroversi' berkaitan diri sendiri sudah cukup mengundang perhatian rakan-rakan di fb bukan? Dan bilangan like dan coment yang banyak menjadi landmark perhatian orang lain terhadap dirinya? Betulkah? Tepuk dada, tanya hati. Jika salah, harap dimaafi ^^), bukanlah hati yang busuk dengan hasad dan dengki, dan bukan jua hati yang khayal dengan 'cita-cita'(layakkah dipanggil cita-cita?) yang tidak membumi realiti malah melalai diri. Tapi, hati yang subur dengan fitrah bertuhan itu adalah hati yang sentiasa merasai kehadiran Tuhan Yang Maha Berkuasa dalam dirinya, pada setiap percakapan dan perlakuannya.

Wahai sahabat, wahai teman, tanyalah diri.. Layakkah aku meraikan eidulfitri ini? Jika merasakan teragak-agak untuk menjawab persoalan ini, belum terlambat untuk mengejar kembali apa yang hilang. Jom sama-sma puasa 6! :)