January 31, 2013

Fitnah Cinta

Separuh penggal pengajian tahun 3 telah selesai saya tempuh. Namun, kudrat usaha dalam medical jihad masih kurang memuaskan. Mencipta alasan hanya menambah penat. Cukup sekadar saya katakan, saya belum bersedia sepenuhnya berubah 360' daripada kehidupan saya sebelum ini kepada orang baru yang menggalas amanah untuk komunitinya. Momentum baru yang perlu saya upgradekan dengan genggaman matlamat yang saya perjuangkan. Insya Allah..

20 tahun mengenal dunia tapi langsung tidak mengenal diri sendiri. Lelahnya mencari Tuhan berakhir dengan satu titik penemuan. Perasaan apakah yang mampu digambarkan apabila hidayahNya mengetuk hati untuk bangun meninggalkan fantasi dan berdepan realiti?

Tatkala tenangnya jiwa merawat luka lalu, sangkaan panas sampai ke petang, rupanya meleset apabila hujan di tengah jalan. HidayahNya tidak Dia hamparkan dengan jalan mudah. Pasti di situ lagi banyak parah. Jika dulu hanya duri yang menghalang, kaki masih mampu bregerak walau sakit. Tapi kini, tembok besar juga jerat yang mengikat kaki langsung menghalang diri dari meneruskan langkah. Tersungkur beberapa kali, parut lama kembali bernanah.

Benarlah.. Makin dewasa, makin ramai manusia yang ditemuinya, makin bertambah ujiannya, makin matang dirinya. Ucapan "Aku cinta padamu Tuhan. Aku rindu untuk bertemu denganMu ya Allah" bukan lagi hanya munajat harian yang dilafazkan tika bangun tahajjud malam tapi ia adalah lafaz yang perlu dibuktikan dengan amal dan perbuatan. Ketelusan cinta pada Ilahi diuji tanpa henti. Jika tewas, hilanglah ikhlas. Jika menang, bertambahlah ikhlas. Bertambahlah cinta. Bertambahlah iman. Bertambahlah ihsan. Seperti kata Sheikh Rohimuddin dalam buku tulisannya, Kompilasi Ma'rifah & Cinta, asas tasawwuf adalah maqam ihsan seperti yang didefinisikan oleh Rasulullah:

"Engkau beribadat kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, kemudian jika engkau tidak dapat melihatNya, maka Dia melihat kamu"

Manusia yang mencari-cari hakikat cinta, pantas Allah uji juga dengan cinta. Cinta biasa-biasa mungkin boleh ditepis tapi bila hadirnya ia dengan fitnah apatah lagi bila dikaburi insan dilabel rijal dakwah, cukuplah soalan ini ditanya:
"Setakat ini sahajakah iman yang kononnya menjadi paksi dakwah yang diperjuangkan?"


Wahai muslimah-muslimah di luar sana, redhakah dirimu jika maruahmu dijaja, namamu disebut-sebut dan dikau di'kahwin'kan pula di alam maya oleh rijal-rijal tanpa pernah walimu didatangi? Jika pada pandangan matamu, banyak ilmunya.. Jika pada pandangan matamu, tinggi akhlaknya.. Jika pada pandangan matamu, hebat tutur bahasanya apatah lagi dihias dengan kalam Allah dan rasulNya.. Jangan sesekali kau terpedaya jika dia merelai dirimu menjadi bahan bualannya dengan teman-temannya sehingga dirimu difitnah. Solehkah rijal seperti ini jika ini yang ingin kau namakan suami?

Berapa ramai pula muslimah-muslimah di luar sana yang gembira apabila namanya dijaja lelaki.. Berapa ramai pula muslilmah-muslimah di luar sana malah berbalas-balas comment dalam laman sosial dengan lelaki yang memuji-muji dirinya tanpa malu?

Wahai wanita muslimah.. Lelaki yang soleh sangat malu untuk menyebut namamu. Malunya bukan kerana malu pada dirimu, tapi malunya kerana dia malu pada Tuhannya. Malu jika dia menduakan cinta pada Tuhannya. Sebab itu, bila timbulnya rasa cinta pada dirimu, lantas terus dia mendatangi walimu kerana dia mahu menghalalkan cintanya kerana cintanya pada Tuhannya mengatasi cintanya pada yang lain. Jika dia tidak mampu melakukan sedemikian rupa, puasa adalah baik baginya.

No comments:

Post a Comment